Sedekad lepas krisis Perak: Berkesankah undang-undang antilompat parti? | Malaysiakini

Sedekad lepas krisis Perak: Berkesankah undang-undang antilompat parti?

Sedekad lepas krisis Perak:

Berkesankah undang-undang antilompat parti?

Lu Wei Hoong, 12 Feb 2019

Sepuluh tahun dahulu, negara dilanda krisis politik apabila Pakatan Rakyat (Pakatan) disingkirkan daripada memerintah negeri Perak.

Krisis itu tercetus tidak berapa lama selepas sambutan Tahun Baru Cina.

Krisis itu bermula apabila tiga orang Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan bertindak keluar parti dan melafazkan ikrar sokongan mereka terhadap BN di hadapan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Tindakan melompat parti - sehingga menyebabkan Pakatan hilang majoriti dalam DUN - bukanlah perkara asing di negara-negara lain. Cuma, tindakan tersebut selalunya disusuli pilihan raya kecil atau proses pembuktian undian sokongan dalam dewan.

Tapi, ia tidak berlaku ketika krisis di Perak dulu kerana Sultan Perak bertitah menteri besar Perak ketika itu, Nizar Jamaluddin hilangan sokongan majoriti, justeru gugur kelayakannya untuk terus menjadi ketua kerajaan.

Titah baginda itu kemudiannya disahkan di mahkamah.

Tahun lalu, krisis serupa terjadi di Sabah apabila kerajaan negeri yang ditubuhkan BN pada 10 Mei, tumbang dalam masa sehari saja ekoran tindakan beberapa Adun melompat parti bagi menyokong Parti Warisan Sabah.

Hanya PP ada

Sekali lagi mahkamah mengesahkan sebuah kerajaan baru boleh dibentuk melalui tindakan Adun mengalih sokongan kepada pihak yang bertentangan.

Perkara itu menimbulkan persoalan, apakah perlu digubal undang-undang khas bagi mengekang kejadian lompat parti dalam kalangan wakil rakyat?

Setakat ini, Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang mewajibkan wakil rakyat mengosongkan kerusi mereka jika melompat parti.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pula mengesahkan Putrajaya tidak akan menggubal undang-undang antilompat parti kerana wakil rakyat bebas bertukar parti dalam amalan demokrasi.

Tindakan berpaling tadah oleh wakil rakyat setelah dipilih oleh pengundi, menimbulkan persoalan: wujudkah jalan tengah dalam demokrasi - yang tidak menafikan kebebasan bertukar parti dalam kalangan wakil rakyat - dan pada masa sama tidak membiarkan mereka sewenang-wenangnya mengkhianati mandat yang diberikan pengundi?

Bagi merungkai persoalan ini, Malaysiakini mendapatkan pandangan pakar perlembagaan Syahredzan Johan, felo Penang Institute Wong Chin Huat, aktivis Ng Yap Hwa dan Penolong Profesor Kolej Universiti Selatan (Southern University College) Phoon Wing Keong.

Syahredzan menjelaskan tindakan berpaling tadah oleh wakil rakyat bukanlah fenomena baru, tetapi menjadi tabu selepas berlakunya krisis di Perak.

Pada 2008, buat pertama kalinya kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya umum (PRU) tumbang kerana tindakan segelintir Adun melompat parti.

Kata Syahredzan, orang Malaysia sebelum itu terbuka dengan tindakan keluar parti oleh para pemimpin.

Misalnya, kata Syahredzan, ketika Anwar Ibrahim merancang untuk memancing 30 anggota parlimen BN ke dalam Pakatan pada 2008.

Ketika itu katanya tidak ramai yang membantah cadangan tersebut. Rancangan berkenaan kemudian akhirnya tinggal rancangan dan tidak berjaya direalisasikan.

Hanya selepas BN menggunakan taktik sama di Perak, barulah rakyat sedar bahawa tindakan meraih kuasa melalui pintu belakang itu merupakan sesuatu yang salah.

Pemimpin yang melompat parti juga dipandang serong dan dianggap sebagai pengkhianat.

Bertanding dengan parti baru

Tambah Syahredzan, wajar atau tidak tindakan lompat parti beberapa anggota parlimen dan Adun Umno ke Bersatu dan Warisan selepas PRU ke-14, semuanya bergantung pada niat mereka.

“Soalannya ialah, kenapa mereka pilih untuk masuk Bersatu? Itu isu utama yang orang ramai persoalkan.

“Adakah kamu tiba-tiba saja tukar parti setelah parti kamu kalah pilihan raya? Saya tak selesa (dengan alasan itu).”

Bagaimanapun, jelas Syahredzan, undang-undang di Malaysia tidak membenarkan wakil rakyat yang meninggalkan parti untuk meraih mandat baru daripada pengundi yang pernah mengundi mereka (melalui pilihan raya semula).

“Kita dah lihat semasa ahli Amanah keluar dan berpisah daripada PAS dahulu. Dalam situasi itu, saya rasa penyelesaian terbaik adalah membenarkan wakil rakyat tersebut letak jawatan dan bertanding bawah parti baru yang disertainya.

“Masalahnya, di Malaysia, wakil rakyat yang meletak jawatan tidak boleh bertanding (dalam pilihan raya semula) dan hilang kelayakan untuk bertanding sehingga lima tahun,” katanya lagi.

Syahredzan mencadangkan undang-undang berkenaan dimansuhkan bagi memberi peluang kepada wakil rakyat yang keluar parti agar dapat bertanding semula bagi mendapatkan mandat baru daripada pengundi.

Sementara itu Wong yang pernah ditahan kerana gerakannya menentang rampasan kuasa di Perak pada 2008 berpendapat, undang-undang yang melarang lompat parti tidak wajar dikuatkuasakan.

Katanya, undang-undang sebegitu hanya akan menyebabkan golongan penyokong kerajaan memberikan kepatuhan secara membuta tuli, seterusnya menghasilkan situasi pemerintahan yang bersifat diktator.

“Saya menentang undang-undang anti lompat parti kerana saya percaya pada bangkangan oleh golongan ‘backbenchers’.

"Tanpa mereka, parlimen Westminster (di United Kingdom) boleh bertukar menjadi satu pemerintahan diktator yang dilantik (elected dictatorship).

“Walaupun ada kekurangannya, parlimen di United Kingdom menyaksikan munculnya watak ‘pemberontak’ seperti Jeremy Corbyn yang berani menentang whip partinya sebanyak 428 kali dalam tempo 13 tahun, ketika Parti Buruh berada dalam kerajaan (1997-2010).

“Corbyn (kini ketua Parti Buruh), tidak pernah dipecat atau dinafikan hak untuk bertanding,” kata Wong.

Tambah Wong, beberapa perubahan boleh dilakukan bagi mengurangkan masalah lompat parti.

Antaranya memberikan peruntukan yang sama kepada wakil rakyat kerajaan dan pembangkang, serta memastikan wakil rakyat pembangkang tidak dikenakan pendakwaan terpilih.

Beliau turut mencadangkan reformasi sistem parlimen agar wakil rakyat hanya memberi tumpuan kepada tugas legislatif, berbanding sistem naungan yang diamalkan kini (melibatkan pelantikan jawatan-jawatan penting) yang pastinya menguntungkan wakil rakyat daripada pihak kerajaan.

Hanya ada satu keadaan sahaja yang menjadikan undang-undang antilompat parti relevan diamalkan di Malaysia, menurut Wong, iaitu jika Malaysia menghapuskan sistem pemilihan pemenang melalui jumlah kerusi terbanyak (first-past-the-post system), dan menggantikannya dengan sistem perwakilan campuran (mixed-member proportional representation).

Wong kini giat berkempen bagi sistem perwakilan campuran tersebut.

Bagi Ng pula, Malaysia boleh mencontohi negara lain bagi menguji kewajaran tindakan lompat parti oleh seseorang wakil rakyat.

Mengambil contoh amalan di Taiwan, Ng menjelaskan, pengundi boleh membuat petisyen bagi menuntut pilihan raya semula diadakan.

Hal itu, katanya, boleh menjadi satu cara untuk menguji sama ada tindakan melompat parti oleh seseorang wakil rakyat direstui oleh pengundi ataupun tidak.

“Kalau pengundi tak berpuas hati wakil rakyat mereka lompat parti, mereka boleh lancarkan petisyen. Hanya perlu sokongan sepuluh peratus daripada jumlah pengundi, ia cukup untuk pilihan raya semula diadakan.”

Berdasarkan undang-undang Taiwan, hanya satu peratus sokongan pengundi diperlukan bagi membolehkan petisyen tersebut dilancarkan di satu-satu kawasan, manakala hanya 10 peratus sokongan diperlukan terhadap petisyen itu bagi membolehkan pilihan raya semula dilaksanakan.

Sementara itu, Phoon menjelaskan kebanyakan sistem demokrasi di Barat tidak mempunyai undang-undang yang menghalang lompat parti bagi memastikan amalan politik yang lebih anjal.

“Kadang-kadang, seseorang ahli politik itu berubah pendirian kerana mempunyai pandangan berbeza dengan partinya dalam sesetengah isu.

“Jika seseorang wakil rakyat itu keluar parti kerana pinsip yang dipegangnya, jadi sepatutnya dia dibenarkan untuk berbuat demikian.

“Jika tindakan itu tidak direstui oleh pengundi, wakil rakyat itu akan kalah juga dalam pilihan raya akan datang,” katanya lagi.

Kongsikan


Komen