10 tahun selepas krisis Perak | Malaysiakini

10 tahun selepas krisis Perak

Laporan Khas dari Malaysiakini. Diterbitkan 11 Feb 2019

Pada tahun 2009, krisis politik melanda negara dengan tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak. Hal itu tercetus apabila tiga ADUN Pakatan keluar daripada parti masing-masing dan mengisytiharkan sokongan kepada BN, yang pada masa itu merupakan pembangkang negeri.

Sepuluh tahun kemudian, beberapa negeri menyaksikan insiden serupa berikutan perubahan kerajaan pada pilihan raya umum 2018.

Bersempena ulang tahun ke-10 tahun krisis Perak, Malaysiakini membawakan satu siri laporan khas.

Krisis kerajaan Perak 2009

  • 1. Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Putrajaya

    Selepas tiga Adun Pakatan - Hee Yit Foong, Jamaluddin Mohd Radzi dan Mohd Osman Mohd Jailu - hilang beberapa hari, mereka muncul di sidang media di Putrajaya bersama-sama timbalan perdana menteri dan pengerusi Umno Perak Najib Abdul Razak.

    Najib Abdul Razak mengisytiharkan tiga Adun itu menyokong Umno. BN memiliki majoriti di DUN dan merampas kembali Perak daripada Pakatan, yang menang di negeri itu dalam PRU 2008.

  • 2. Istana Iskandariah, Kuala Kangsar

    Zambry Abdul Kadir mengangkat sumpah sebagai MB baru. Semua Adun Pakatan tidak hadir di acara itu, manakala lebih 3,000 penyokongnya mengadakan demonstrasi bantahan di luar istana.

    Demonstrasi berlangsung dua jam dan polis menembak sepuluh das gas pemedih mata untuk menyuraikan peserta. Sembilan ditahan.

  • 3. Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Ipoh

    Ketika krisis Perak, bangunan ini menjadi saksi pergelutan antara Adun Pakatan dan BN. Pakatan bertegas untuk masuk ke pejabat dan bekerja seperti biasa, BN pula enggan membuka pintu.

    Keadaan di DUN kucar-kacir, dengan kemuncaknya speaker Pakatan V Sivakumar diseret keluar dari dewan itu.

  • 4. Pokok Demokrasi, Ipoh

    Susulan sekatan polis untuk memasuki bangunan SUK, Nizar Jamaluddin dan Adun Pakatan lain mengadakan sidang DUN tergempar bawah sebatang pokok di tempat letak kereta bersebelahan dan meluluskan tiga usul.

    Pokok itu kemudian dinamakan 'Pokok Demokrasi' dan satu plak dipasang. Ia dirosakkan beberapa kali, sebelum Majlis Bandar Raya Ipoh bertindak membuangnya apabila BN mengambil alih pentadbiran.

  • 5. Bukit Gantang

    PRK Bukit Gantang diadakan sebaik selepas krisis Perak. Pakatan Rakyat melihatnya sebagai referendum pengundi terhadap rampasan kuasa yang berlaku. Calon Pakatan Rakyat Nizar Jamaluddin menang dengan majoriti 2,789 undi.
  • 6. Mahkamah Persekutuan, Putrajaya

    Setahun kemudian, panel hakim Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari 2010 sebulat suara mengisytiharkan Zambry Abdul Kadir sebagai MB Perak yang sah.

Sambung baca

Kongsikan