1999
Krisis Ekonomi Asia mencetuskan kemelut antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya Anwar Ibrahim. Selepas dipecat, Anwar memulakan gerakan Reformasi yang menuntut pengunduran Mahathir. Anwar kemudian ditangkap dan tidak lama selepas itu muncul di mahkamah dengan mata lebam. Media arus perdana hanya melaporkan versi kenyataan rasmi. Pada masa sama, untuk menarik pelaburan asing, kerajaan berikrar memastikan kebebasan Internet.
Steven Gan dan Premesh Chandran memutuskan untuk mencuba kebebasan internet dengan mewujudkan portal berita bebas Malaysiakini.com. Selepas kutipan dana selama setahun, Malaysiakini akhirnya mempunyai pejabat. Beberapa minggu selepas itu Mahathir mengumumkan pilihan raya tergempar. Malaysiakini menyampaikan laporan langsung pada hari penamaan calon pada PRU ke-10 pada 20 November 1999.
2000
Laporan tepat Malaysiakini berkaitan PRU 1999 menambah bilangan pembacanya. Malaysiakini juga mendedahkan salah laku dalam bidang kehakiman melibatkan hakim kanan dan ketua hakim. Sementara dalam kes Anwar Ibrahim, mahkamah memutuskan beliau bersalah.
2001
“Orang yang sayang Malaysia tidak akan sokong Malaysiakini,” kata Dr Mahathir Mohamad ketika kerajaan mendakwa Malaysiakini menjadi ejen asing kerana menerima geran dari luar negara.
2002
Pada mulanya bayaran diperkenalkan untuk membaca ruangan pendapat, kolum dan artikel. Kerana respons kurang memberangsangkan, Malaysiakini memperkenalkan bayaran untuk ruangan berita - yang menyaksikan hasil yang lebih baik. Bagaimanapun, hanya 1,000 pengguna melanggan Malaysiakini pada tahun itu. Malaysiakini membuat keputusan meneruskannya.
2003
Pihak polis menuntut identiti penulis surat itu serta merampas 19 komputer pasukan editorial sebagai “bahan bukti”. CNN membuat liputan berkaitan serbuan itu. Pembaca Malaysiakini berhimpun tanda setiakawan, malah menderma komputer untuk membolehkan kami meneruskan operasi. Mahathir sekali lagi menegaskan tidak akan menapis Internet. Beberapa hari kemudian, polis memulangkan komputer Malaysiakini. Tiada pertuduhan dibuat terhadap portal ini.
2004
Gabungan parti pemerintah menang dengan majoriti besar, mendapat 50 kerusi parlimen baru. Pada malam pilihan raya, Malaysiakini menjadi pihak terawal mengumumkan BN merampas semula Terengganu dan dikunjungi hampir 500,000 pengunjung. Pada Julai tahun itu, kadar langganan meningkat separuh selepas kira-kira dua tahun. Portal Malaysiakini berbahasa Malaysia dilancarkan pada November.
2005
Malaysiakini menjadi laman berita pertama di Malaysia yang menyediakan laporan dalam tiga bahasa selepas memperkenalkan meja bahasa Cina dengan empat pekerja. Portal ini turut menubuhkan Southeast Asia Centre for e-media (Seacem), organisasi bukan berasas keuntungan. Ia menyasarkan untuk menyokong masyarakat sivil dan memanfaatkan penggunaan Internet untuk mengembangkan kebebasan media dan hak asasi di rantau ini. Seacem beroperasi selama 10 tahun dan berjaya melatih kira-kira 1,000 orang daripada 15 negara.
2006
Ketika YouTube meletup di seluruh dunia, Malaysiakini TV dilancarkan dengan membuat liputan berita dan menerbitkan video dokumentari. Kandungan video memainkan peranan penting merakam sesuatu acara, sekali gus memicu perubahan drastik pada 2008. Malaysiakini TV dijenamakan semula sebagai Kinitv pada 2013.
2007
Diketuai Presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan, lebih 2,000 peguam berarak di Putrajaya dalam acara "Walk for Justice". Ia disusuli himpunan Bersih yang menuntut pilihan raya bersih dan adil. Perobohan kuil di Padang Jawa pula mencetuskan protes besar Hindraf. Malaysiakini menjadi salah satu daripada sebahagian kecil media yang menyiarkan laporan acara itu.
2008
Jutaan orang mengikuti Malaysiakini sebagai sumber berita pilihan raya mereka dalam tiga bahasa. Pada malam pilihan raya, kami menyiarkan berita segera bahawa Kedah, Penang, Perak dan Selangor tumbang kepada Pakatan Rakyat manakala PAS mempertahankan Kelantan. BN hilang penguasaan majoriti dua pertiga. PM Abdullah Badawi mengakui “kesilapan terbesarnya” adalah kerana memandang remeh kuasa media baru.
2009
Selepas hilang dua pertiga majoriti, Umno meminta Abdullah Badawi berundur. Najib Abdul Razak, anak sulung PM kedua Abdul Razak Hussein, menjadi perdana menteri keenam. Beliau menjanjikan Malaysia yang lebih liberal dan adil dengan slogan “1Malaysia”.
Sementara itu, Malaysiakini yang kini berumur 10 tahun memintas media arus perdana sebagai laman berita paling popular dalam negara ini. Kami bekerjasama dengan Semparuthi untuk menawarkan berita dalam bahawa Tamil di laman MalaysiaIndru. Kami tubuhkan CJ.MY untuk menggalakkan perkembangan kewartawanan rakyat di seluruh negara.
2010
Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi menolak permohonan permit penerbitan Malaysiakini tanpa memberikan sebarang alasan. Portal berita ini memulakan tindakan mahkamah bagi mengisytiharkan tindakan itu bertentangan dengan undang-undang. Pemberita Malaysiakini dihalau dari perhimpunan agung Umno.
2011
Lebih 50,000 hadir dalam perhimpunan Bersih 2.0 bagi terus menuntut pilihan raya yang bersih dan adil. Perhimpunan Bersih turut diadakan di 32 bandar di seluruh dunia. Di Malaysia, lebih 1,660 orang ditahan.
Malaysiakini melawan serangan siber terhadapnya dan berjaya membawakan laporan langsung perhimpunan itu, termasuk menyiarkan rakaman video dan gambar.
2012
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Abang Iskandar Abang Hashim membatalkan keputusan Kementerian Dalam Negeri pada 2010 yang tidak memberikan permit penerbitan kepada Mkini Dotcom. Hakim menyifatkan tindakan itu sebagai tidak sesuai dan tidak rasional. Keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan.
Melihat perubahan landskap politik, pengiiklan mula memberikan sokongan. Buat pertama kali dalam sejarah Malaysiakini, pendapatan daripada pengiklanan menjadi sumber utama portal ini.
2013
Pakatan Rakyat menang undi popular tetapi tidak berjaya mendapat kerusi majoriti dalam Parlimen. Pembangkang mendakwa terdapat penipuan besar-besaran. Angka langganan Malaysiakini mencipta rekod baru.
2014
Malaysiakini berpindah ke bangunan baru di Petaling Jaya dengan bantuan dana RM1.7 juta daripada penyokong. Sebelum berpindah, pejabat di Bangsar disimbah dengan cat merah oleh pihak tidak diketahui. Pada masa yang sama, Najib Abdul Razak dan Umno menyaman Malaysiakini susulan komen “fitnah” pembaca dalam ruangan Yoursay.
2015
Sarawak Report mendakwa berbilion ringgit dicuri oleh Najib Abdul Razak dengan bantuan ahli perniagaan Jho Low. Najib menafikan sebarang salah laku. Ketua-ketua agensi utama kerajaan membentuk pasukan petugas khas untuk menyiasatnya. Beberapa hari sebelum didakwa, Najib memecat TPM Muhyiddin Yassin dan Peguam Negara Abdul Gani Patail, sekali gus mengekang siasatan SPRM. Polis dan SKMM menyerbu pejabat Malaysiakini susulan liputan berkaitan pemindahan dalaman pihak pendakwaan SPRM dalam siasatan kes rasuah itu.
2016
Peguam negara yang baru Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib Abdul Razak dari sebarang salah laku. Pada Mac, dua musuh tradisi, Lim Kit Siang and Dr Mahathir Mohamad, melancarkan kempen “Selamatkan Malaysia”. Pada September, Anwar Ibrahim dan Mahathir Mohamad berjabat tangan, pertama kali sejak Anwar dipecat pada 1998. Pakatan Harapan dilancarkan. Jabatan Keadilan AS memulakan tindakan untuk merampas aset berkaitan 1MDB yang disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram. Pada November, ratusan kumpulan berbaju merah berkumpul di depan pejabat Malaysiakini mendesak laman web ini ditutup. Pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan menyertai ratusan ribu yang lain dalam himpunan Bersih 5.
2017
Buat pertama kali, kerajaan menuduh pengasas Malaysiakini di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia. Ini susulan keengganan menarik balik video Kinitv yang tidak disenangi peguam negara. Mahkamah membebaskan mereka daripada tuduhan itu pada September 2018.
2018
Malaysia terjebak dalam kempen sengit pilihan raya. Najib Abdul Razak dituduh bergantung pada ""cash is king"" manakala Pakatan Harapan meminta orang ramai menjatuhkan BN yang didakwa telah lama menjarah negara ini. Pada malam pilihan raya, SKMM mengeluarkan arahan sekatan pada Malaysiakini. Namun Malaysiakini bersama KiniTV berjaya mengatasi sekatan itu, selain mendahului media arus perdana lain sebagai sumber utama keputusan pilihan raya. Pada 2.28 pagi, Malaysiakini mengumumkan Harapan menang di 112 kerusi, membentuk majoriti di Parlimen - peralihan kerajaan pertama di Malaysia yang berlaku secara demokratik. Beberapa minit kemudian, media arus perdana turut mengisyhtiharkan keputusan itu.
2019
Malaysiakini menyambut ulang tahun ke-20 pada 20 November. Kumpulan ini kini terdiri dari Malaysakini, Kinitv, FG Media, Kini Academy, Mkini Corporate Management dengan lebih 120 orang kakitangan. Seramai 7.8 juta pengguna melayari Malaysiakini setiap bulan, bersamaan 750,000 setiap hari untuk empat bahasa. Berdasarkan Reuters Institute, Malaysiakini ialah sumber berita pilihan paling utama rakyat Malaysia, tiga tahun berturut-turut. Selamat hari ulang tahun Malaysiakini!