Tercemar teruk, nazakkah sungai di Pasir Gudang? | Malaysiakini

Tercemar teruk,
nazakkah sungai di Pasir Gudang?

Laporan oleh Geraldine Tong dan Wong Kai Hui. Video oleh Vivian Yap. Gambar oleh Azneal Ishak. Diterbit 18 July 2019.


Hampir empat bulan berlalu, kerajaan masih perlu berdepan kesan buruk daripada tragedi disebabkan pencemaran di Sungai Kim Kim yang memaksa ribuan pelajar dan penduduk mendapatkan rawatan.

Tapi Sungai Kim Kim bukan satu-satunya sungai tercemar di Pasir Gudang.

Malaysiakini melihat krisis melibatkan sungai-sungai di Pasir Gudang.


Atau tatal (scroll) ke bawah untuk membaca versi teks

Air sisa dibuang ke Sungai Buluh, Pasir Gudang. Bukanlah menjadi kesalahan kepada kilang-kilang membuang air sisa industri mereka begitu, selagi ia dalam kadar dibenarkan dalam Peraturan Kualiti Alam Sekitar 2009.

Air sisa dibuang ke Sungai Buluh, Pasir Gudang. Bukanlah menjadi kesalahan kepada kilang-kilang membuang air sisa industri mereka begitu, selagi ia dalam kadar dibenarkan dalam Peraturan Kualiti Alam Sekitar 2009.

Ia bermula dengan pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, sungai yang tidak menonjol, mengalir merentasi kawasan perindustrian Pasir Gudang.

Melihat asap keluar dari cerobong kilang-kilang adalah pemandangan biasa di Pasir Gudang.

Ia berakhir dengan 2,775 penduduk jatuh sakit akibat terdedah dengan wap toksik, 200 dimasukkan ke hospital termasuk pelajar sekolah, 111 sekolah ditutup sementara, dan kerajaan negeri Johor terpaksa menanggung kos pembersihan lebih RM6 juta dan didakwa.

Insiden pada Mac itu serta krisis pencemaran udara yang terbaru baru-baru ini - dan puncanya masih tidak diketahui - membuat Pasir Gudang menjadi perhatian semua pihak. Bagi penduduk setempat, ia hanya menguatkan kenyataan yang mereka ketahui sejak sekian lama: sungai-sungai di situ banyak yang tercemar teruk membingungkan.

Seorang penduduk berkongsi pengalamannya dengan Malaysiakini, bagaimana kakaknya terkesan teruk dengan insiden Sungai Kim Kim selepas dia menolong seorang perempuan yang pengsan di stesen minyak.

“Kakak saya bawa perempuan itu ke hospital, tetapi dia pun pengsan dan dimasukkan ke hospital. Dia muntah-muntah dan sakit dada.

“Kami tinggal di kawasan industri dan kami tahu risikonya, jadi kami harap pihak berkuasa tidak memandang ringan perkara ini.

”Mereka mungkin mengambil (kira) kepada kepentingan diri sendiri, tetapi ia memberi kesan kepada kami juga," kata pemandu bas berusia 32 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Fendi.

Walaupun tidak jelas sama isu kesihatan yang timbul baru-baru ini - menyebabkan beratus pelajar dan guru mengalami kesukaran bernafas, muntah-muntah, pening dan simptom lain - ada kaitan dengan sungai-sungai di Pasir Gudang, pendududuk tetap bimbang apa yang berlaku pada Mac lalu berulang, kecuali sesuatu dilakukan.

Bukan hanya Sg Kim Kim

"Bagaimanapun masalah berkaitan bukan hanya kes terpencil bagi Sungai Kim Kim. Kilang-kilang yang banyak berdiri di Pasir Gudang dipercayai menjadi penyebab utama penurunan kualiti sungai."


Dengan lebih 2,000 kilang, 250 loji kimia, dalam kawasan seluas 2,000ha, menyebabkan kebimbangan itu tetap ada.

Pasir Gudang Industrial area, residential & schools

Laporan Kualiti Alam Sekitar (EQR) terkini oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dikeluarkan pada 2017.

Laporan itu mengelaskan sungai-sungai dari Kelas 1 hingga V. Kelas I (yang paling baik) diberikan untuk sungai yang terbersih dan boleh diminum, manakala Kelas V untuk yang paling buruk, tidak selamat untuk sebarang penggunaan. Hidupan masih boleh hidup dalam sungai Kelas I hingga Kelas III. Ini berbeza dengan kelas berikutnya.

Sungai Kim Kim ialah sungai Kelas III (sedikit tercemar).

Daripada 477 sungai yang dipantau JAS di seluruh negara, 51 dikelaskan sebagai tercemar. Dua puluh tujuh daripadanya - atau lebih 52.9 peratus - ada di Johor. Negeri itu memiliki 12 sungai Kelas III, 14 sungai Kelas IV dan satu sungai Kelas V.

Laporan EQR untuk 2018 belum dikeluarkan. Bagaimanapun Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin pada Mac lalu dilaporkan berkata terdapat 25 sungai Kelas V, berbanding hanya satu pada 2017.

Enam belas daripadanya sungai Kelas V - yang dianggap ‘sungai mati’ - ini ada di Johor.

Kelas Air Dan Kegunaannya

Kelas I
Dalam keadaan semula jadi.
Bekalan air I - Tiada rawatan diperlukan
Perikanan I - Spesis akuatik sangat sensitif

Kelas IIA
Bekalan air II - Air memerlukan rawatan konvensional.
Perikanan II - Spesis akuatik sensitif

Kelas IIB
Air boleh digunakan untuk rekreasi.

Kelas III
Bekalan air III - Air memerlukan rawatan intensif.
Perikanan III - Spesis yang toleren, ada nilai ekonomi, minuman ternakan

Kelas IV
Hanya untuk tujuan pengairan.

Kelas V
Selain di atas.

Sumber: EQR2017/WEPA

Negeri Jumlah 'Sungai Mati
Johor 16
Selangor 5
Penang 3
Malacca 1

Sebuah Sungai Kelas V, Sungai Tukang Batu, terletak di Pasir Gudang. Lagi tiga sungai dalam bandar itu turut dikelaskan sebagai tercemar, iaitu Sungai Perembi, Sungai Masai dan Sungai Buluh. JAS turut menyenaraikan Sungai Latoh, walaupun ia secara teknikalnya tidak berada dalam kawasan Pasir Gudang.

Pokok-pokok di tepi sungai tidak terkecuali daripada sampah dan kotoran

Air keruh, bau busuk

Sungai Tukang Batu - paling tercemar mengikut laporan EQR pada 2017 - kini tidak boleh didekati kerana kedudukannya yang berada di tengah-tengah kawasan perindustrian yang ditutup.


Malaysiakini turut mengunjungi tiga lagi sungai iaitu Sungai Buluh (sungai kedua paling tercemar berdasarkan indeks kualiti airnya), Sungai Masai (yang melalui kawasan industri dan ramai penduduk) serta Sungai Kim Kim (tapak berlakunya insiden pencemaran kimia Mac lalu).

Melalui kunjungan pertama, keadaan Sungai Buluh menyedihkan. Ia dikelilingi kilang di kiri dan kanan, airnya mengalir lesu dan keruh. Ia dipenuhi mendapan dan pelbagai bahan lain. Bau busuknya bercampur aduk dengan bau asap dari kawasan bersebelahan.

Malaysiakini juga mendapati air buangan dari kilang-kilang disalurkan terus ke sungai. Tidak dapat dipastikan sama ada amalan itu mengikut piawaian pihak berkuasa atau tidak.

Air keruh juga disaksikan di muara Sungai Masai, yang mengalir ke Selat Johor. Pokok-pokok bakau di sepanjang sungai juga kelihatan tercabut akarnya. Pokok-pokok itu sebenarnya berperanan menjaga tebing sungai dari hakisan, mengekalkan kualiti air dan memerangkap sampah dan objek dari masuk ke sungai.

Sepanjang Sungai Kim Kim, rumah orang ramai dan sungai itu hanya dipisahkan oleh jalan kecil dan belukar. Bau dari singai menyengat hidung dengan mudah.

kemudiannya melawat bahagian lain sungai itu yang mengalir merentasi kawasan perindustrian.

Sungai Kim Kim yang mengalir melalui kawasan perindustrian dan petempatan menjadi perhatian ramai selepas insiden pembuangan sisa bahan kimia pada Mac lalu.

Apakah yang dimaksudkan sungai sakit?

Pencemaran sungai di Pasir Gudang dan kawasan sekitarnya disebabkan beberapa faktor.


Antara penyebab utamanya ialah terlalu banyak kilang dan loji perindustrian disumbat pada satu tempat, menyebabkan kegagalan pematuhan piawaian kebangsaan berhubung peraturan pelepasan sisa.


“Jika semua kilang patuh kepada undang-undang pun, kualiti air tetap akan terjejas kerana terlalu banyak (kilang),” kata pakar kualiti air Zaki Zainudin kepada Malaysiakini yang dihubungi melalui telefon.


Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Efluen Perindustrian) 2009 menyatakan kawalan terhadap tahap pelepasan bahan kimia dan bahan lain dalam pembuangan air sisa industri.

Terdapat juga peraturan sama untuk pelepasan dari loji kumbahan, stesen pemindahan sisa pepejal dan tapak pelupusan.

Zaki

Zaki Zainuddin memantau sungai-sungai di Malaysia sejak 16 tahun lalu, termasuk di Pasir Gudang.

Sebab lain yang dinyatakan ialah sistem rawatan kumbahan di Pasir Gudang dikatakan sangat “asas” dan “tidak moden." Seperti didakwa Zaki, sistem di kawasan tersebut "tidak dimodenkan".

Kumbahan organik (najis) dan air basuhan turut dilepaskan ke dalam air sungai, termasuklah pelepasan air kumbahan dari petempatan kampung dan setinggan. Terdapat juga pembuangan sisa dan bahan kimia secara haram, seperti yang terbongkar ketika insiden Sungai Kim Kim.

Menurut Zaki, “premis industri … sepatutnya merawat sisa yang dihasilkan sebelum melepaskan (ke sungai), tetapi mungkin kerana mereka tak dapat mematuhi had yang ditetapkan, jadi mereka lepaskan sisa ketika tak ada yang memantau”.

Kelemahan undang-undang

Jika air sisa dibuang mengikut had dibenarkan pun, pencemaran sungai masih boleh berlaku. Ia disebabkan terdapat kelompongan dalam peraturan sedia ada.

Sungai Buluh dikelilingi kilang di kedua-dua belah.


Mengulas lanjut, Zaki berkata piawaian paling ketat untuk kepekatan keperluan oksigen biokimia (BOD) dalam had pelepasan industri ialah pada 20mg/L (Standard A). Kilang-kilang mesti merawat air sisa mereka sehingga BOD itu sebelum boleh dilepaskan.

Standard A digunakan di kawasan-kawasan tadahan air, manakala Standard B pula dengan had 50mg/L - digunakan di kawasan perairan darat yang lain.

Cuma masalahnya, menurut Zaki, meskipun dengan mematuhi had 20mg/L bawah Standard A ini, ia jauh mengatasi takat BOD sungai-sungai Kelas V mengikut Piawai Kualiti Air Kebangsaan (NWQS), iaitu garis panduan yang digunakan oleh JAS untuk mengukur kualiti air sungai.

keperluan oksigen biokimia mg/L
*Standard A 20
*Standard B 50
Kelas V > 12

Jika berdasarkan piawaian ini (NWQS), bacaan BOD sungai yang melebihi 12mg/L pun sudah tergolong dalam Kelas V. Pada dasarnya ia dikelaskan sebagai sungai mati.

Contoh serupa juga boleh dilihat dalam parameter lain, seperti kepekatan nitrogen berammonia (AN), di mana piawaian paling ketat mengehadkannya pada 10mg/L untuk pelepasan industri, sedangkan NWQS menggariskan bahawa bacaan melebihi 2.7mg/L pun sudah dikelaskan dalam Kelas V.

nitrogen berammonia mg/L
*Standard A 10
*Standard B 20
Kelas V > 2.7

* Standard A digunakan di kawasan-kawasan tadahan air, manakala Standard B pula dengan had 50mg/L - digunakan di kawasan perairan darat yang lain.


“Perundangan kita yang paling ketat terhadap pelepasan efluen industri, jika dibandingkan dengan piawaian kualiti air (NWQS), sebenarnya berada dalam Kelas V. Kenapa jadi macam Itu?


“Hal itu timbul kerana perundangan dibuat dengan jangkaan bahawa sungai akan melarutkan sebahagian sisa-sisa yang tak elok. Persoalannya, adakah sungai betul-betul boleh melarutkannya atau pun tidak?” soal Zaki.

“Apabila ada banyak sangat premis industri yang disumbat dalam kawasan kecil, ia menjadi terlampau tepu. Beberapa sungai pun boleh menjadi ibarat satu sungai kecil sahaja."

Negara-negara lain, kata Zaki, mempunyai perundangan lebih komprehensif yang tidak hanya melihat pada kepekatan bahan kimia dan bahan-bahan lain dalam air, tetapi juga isi padu pelepasan air dan saiz sungai yang menerima sisa tersebut.

“Bukan sahaja di Amerika Syarikat, tetapi juga di Jepun dan Korea … tetapi di Malaysia, kita hanya melihat pada kepekatan efluen,” jelasnya lanjut.

Perkampungan nelayan di Pasir Gudang sebelum ia dibangunkan menjadi zon perindustrian.

Perancangan lemah

Dahulu, Pasir Gudang terdiri daripada kampung-kampung nelayan sebelum komuniti Teochew dari selatan China mula mengusahakan tanaman seperti gambir dan getah di tebing-tebing sungai.


Situasi itu berubah selepas darurat tamat pada 1960-an. Pada 1977, kerajaan negeri memberikan mandat kepada badan berkanun Johor Corp untuk mentadbir bandar itu sehingga 2009.

Pada masa itu, kebanyakan undang-undang alam sekitar masih belum wujud. Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPGG) hanya mengambil alih pentadbiran tempatan sejak 10 tahun lalu.

Johor Corp membangunkan Pasir Gudang sehingga menjadi sebuah kawasan perindustrian, membuka jalan kepada penubuhan Pelabuhan Johor yang menjadi alternatif buat Pelabuhan Singapura.

Gan Kai Hui, individu yang terlibat dalam perancangan bandar di selatan Johor, menjelaskan bahawa pola menghimpunkan begitu banyak industri di satu kawasan yang sama dibuat untuk menarik pelabur asing.

“Bila ada banyak jenis aktiviti industri yang saling menyokong, dan dekat pula dengan pelabuhan, (ia akan menarik pelaburan asing),” katanya lagi.

Pasir Gudang area

Kawasan Pasir Gudang bertukar menjadi zon perindustrian mulai 1970-an untuk membuka jalan kepada pelabuhan Johor sebagai alternatif kepada Singapura.

Pasir Gudang menjadi kawasan perindustrian pada 1970-an, membuka jalan kepada penubuhan Pelabuhan Johor yang menjadi alternatif buat Pelabuhan Singapura.

Bagaimanapun, Gan mendakwa pembangunan awal bandar perindustrian itu dilakukan tanpa mengambil kira kesan jangka panjang menyebabkan berlakunya pencemaran yang dihadapi Pasir Gudang pada hari ini.

Mengulas lanjut, Gan mendakwa bidang perancangan bandar pada masa dahulu tidak begitu mantap, jadi pelan pembangunan selalunya dibuat oleh juruukur tanah dan arkitek.

Pembangunan awal terlalu menumpukan kepada zon perindustrian sehingga hampir tiada perhatian diberikan kepada rancangan pembangunan masa depan, seperti kawasan kediaman sekitar yang mula membangun pesat untuk memenuhi permintaan mereka yang datang kerana tertarik dengan peluang pekerjaan lumayan di situ.


“Perkara paling utama, iaitu perancangan, hanya dibuat selepas pembangunan,” katanya.


Kawasan-kawasan perumahan di Pasir Gudang termasuklah Taman Air Biru, Taman Mawar, Taman Bukit Dahlia, Taman Scientex, Taman Pasir Putih, Taman Tanjung Puteri dan Taman Tanjung Puteri Resort.

“Ya. Saya pernah bau busuk, tapi saya tak muntah, sakit kepala, tak ada,” kata lelaki 57 tahun itu. “Saya cuma tutup pintu, tutup semualah (untuk elak bau busuk)”.

Jangan guna air

Meskipun keadaan pencemaran sungai di Pasir Gudang berada pada tahap membimbangkan, Zaki berkata, sungai tercemar selalunya tidak mempunyai kesan langsung terhadap kesihatan para penduduk memandangkan mereka tidak menggunakan air sungai tersebut secara terus.


“Air (di sungai tercemar) tak digunakan untuk minuman dan bekalan air,” katanya.

Antara punca utama berlakunya insiden seperti di Sungai Kim Kim beberapa bulan lalu ialah pembuangan bahan sisa secara haram. Tegas Zaki, kejadian serupa boleh terjadi di mana-mana sahaja, bukan hanya di sungai tercemar.


Bagi Mohd Azman, 47, yang sudah tinggal di Pasir Gudang lebih sedekad, dia sudah terbiasa dengan bau aneh dan asap di situ. Pun begitu, dia tidak pernah membayangkan insiden seperti yang menimpa Sungai Kim Kim akan terjadi.

“Tak adalah (fikir) sampai kritikal macam keadaan sekarang ni,” katanya kepada Malaysiakini. “Kami ingat benda tu (bau aneh dan asap) macam biasalah, taklah sampai boleh masuk hospital macam sekarang ni”.


Seperti Azman, seorang pesara Hashim Mahmud, yang tinggal berdekatan Taman Tanjung Puteri sejak tujuh tahun lalu, berkata pengalaman paling buruk yang pernah dialaminya sebelum ini adalah setakat bau busuk dari sungai.

Pekerja berehat di luar salah satu kilang di tengah zon perindustrian Pasir Gudang.

Ke mana hilangnya ikan?

Biarpun tahap kesihatan komuniti Orang Asli Seletar tidak terkesan secara langsung, keadaan sungai yang semakin mati tetap menjejaskan kehidupan mereka.


Suku Seletar tinggal di kawasan kecil di muara yang menghubungkan Sungai Masai dan Selat Johor. Kebanyakan mereka ditempatkan semula di Kampung Kuala Masai dari tanah turun-temurun mereka di Stulang Laut.

Di situ, kehidupan mereka bergantung pada hasil laut - memancing dan menangkap ikan - sebelum dijual di pasar. Kini, dakwa mereka, sudah tidak ada lagi ikan dan ketam di laut yang terletak berhadapan dengan kampung mereka.

Keleh Lah, 38, ialah ketua kampung dan pengerusi persatuan nelayan suku Seletar di Kampung Kuala Masai.

“Apabila saya pindah di sini pada 2003, (tangkap) ikan di laut ini mudah sahaja. Bawa pancing, duduk satu jam, ikan semilang, tiga-empat ekor mudah-mudah dapat.

“Hari ini kalau kita duduk di sini, katakan satu hari, lima bungkus maggi kita makan habis pun tak semestinya satu ikan naik (dapat dipancing)”, kata Keleh Lah, 38, ketua kampung dan Pengerusi Kampung Nelayan di situ.

Rakan sekampungnya, San Yunos, 53, berkata, memandangkan air sungai kini sangat kotor dan pokok bakau juga sudah tiada, orang kampung terpaksa menaiki bot sejauh dua jam perjalanan ke perairan Pengerang untuk mencari ikan.

Keleh dan rakan-rakan dari Orang Seletarnya terpaksa menaiki bot sejauh dua jam perjalanan ke perairan Pengerang untuk mencari ikan.

Untuk menjimatkan kos minyak yang selalunya menelan RM120 setiap kali perjalanan pergi dan balik, San berkata dia selalunya akan tidur di atas botnya untuk dua malam di Pengerang.

Hasil tangkapan untuk dua hari di Pengerang selalunya memberinya pulangan sekitar RM400 ke RM500, dan setelah ditolak kos minyak, dia hanya mendapat hasil bawah RM300 sahaja.

Pemandangan latar petempatan suku Seletar didominasi oleh kren industri

Lag Bacik merupakan salah seorang penduduk terawal dipindahkan dari Stulang Laut ke Kampung Kuala Masai, lebih 20 tahun lalu.

Kata Lag, ketika kali pertama berpindah ke sini, aliran airnya jernih berbanding sekarang yang keruh.

Kini berusia lebih 70 tahun, Lag masih ingat bagaimana dia mula-mula berpindah dulu, Sungai Masai dan Selat Johor yang mengelilingi kampungnya mengalir jernih dan dipenuhi dengan ikan dan ketam.

Namun, perairan itu sudah lama bertukar menjadi keruh, dan keluhnya lagi, kini, jika penduduk berjaya menangkap kerang sekalipun, kerang yang ditangkap sudah mati.

Lag dan anak lelakinya, Michael, 27, mendakwa ketika musim kemarau, air berwarna hitam kelihatan mengalir dari Sungai Masai menuju ke Selat Johor.

Komuniti Orang Asli di Kampung Orang Asli Teluk Kabong, dekat Sungai Kim Kim, turut mengadu menghadapi masalah sama. Kata mereka - seperti dilapor The Star - bau busuk dari sungai itu turut membuatkan pelanggan mengelak daripada berkunjung ke tempat mereka.

Tugas sukar menanti

Malang sekali, dengan pelbagai faktor yang menyumbang kepada pencemaran sungai di Johor, mencari penyelesaian terhadap situasi di Pasir Gudang mungkin perlu merempuh jalan yang sukar.

Bekas menteri besar Johor Osman Sapian sebelum ini mencadangkan agar kilang-kilang di situ ditempatkan semula ke lokasi lebih sesuai berikutan insiden di Sungai Kim Kim.

Meskipun Yeo mengakui pembangunan pesat dan kepadatan industri berasaskan kimia sebagai penyumbang utama kepada masalah alam sekitar yang berlaku di situ, beliau tidak mengumumkan rancangan pemindahan terhadap loji-loji tersebut.

Kata menteri itu, keputusan itu berada bawah bidang kuasa kerajaan Johor.

Gan bagaimanapun berpendapat bahawa penempatan semula hanya akan memindahkan masalah yang sama ke tempat lain pula.

Kos pemuliharaan juga menjadi isu kerana ia adalah proses yang sangat sukar serta menelan belanja yang tinggi. Zaki berkata, projek River of Life yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti air di lapan sungai utama di Lembah Klang menelan kos sebanyak RM4.4 bilion.

Yeo Bee Yin

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin mendakwa kerajaan negeri menggiatkan langkah penguatkuasaan ke atas kilang-kilang yang degil di Pasir Gudang.

Zaki berkata, projek River of Life yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti air di lapan sungai utama di Lembah Klang menelan kos sebanyak RM4.4 bilion.


“Jadi, sebelum kita belanjakan duit sebanyak tu, mari kita bincangkan soal bagaimana memelihara sungai yang masih bersih,” katanya lagi.


Zaki berkongsi gambar-gambar Sungai Kim Kim dengan Malaysiakini - yang diambilnya di lokasi yang sama pada dua masa berbeza, iaitu 2012 dan 2017. Gambar tersebut menunjukkan perubahan drastik pada warna air sungai.

Pada 2012, Sungai Kim Kim mempunyai indeks kualiti air (WQI) 64. Lima tahun kemudian, ia merosot kepada 57.

Sungai Masai pula - yang dikategorikan sebagai sungai kelas III pada 2014 - menjadi sungai kelas IV tiga tahun kemudian dengan WQI 48.

WQI untuk Sungai Buluh juga merudum daripada 50 pada 2014 kepada 34 pada 2017, iaitu hampir menjadi sungai Kelas V.

Menguruskan undang-undang

Pada akhirnya, ia berbalik pada undang-undang. Tanpa melihat pada kelompongan yang wujud dalam perundangan mengenai tahap pelepasan sisa yang dibenarkan, pihak berkuasa tidak boleh berbuat apa-apa untuk menambah baik sistem pengurusan sungai.


Perkara itu perlulah dilakukan seiring dengan penguatkuasaan yang lebih ketat, juga menilai semula kepadatan kilang-kilang di Pasir Gudang.

Yeo kelihatan prihatin terhadap kebimbangan yang disuarakan. Beliau berikrar untuk menutup semua kilang haram di Pasir Gudang, dan menegaskan bahawa selepas insiden Sungai Kim Kim, JAS meningkatkan usaha penguatkusaan sebanyak “300 peratus”.

Kerajaan juga katanya tidak akan meluluskan sebarang permohonan baru untuk membina loji kimia di kawasan tersebut pada masa akan datang.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi membuat penyelarasan terhadap semua pihak yang terlibat dalam menangani isu pencemaran di Pasir Gudang.

Walaupun keadaan Sungai Buluh tercemar, kehidupan tetap diteruskan.

Namun, adakah ini cukup untuk menyelesaikan masalah sungai di Pasir Gudang?

Malaysiakini menghubungi Yeo, timbalannya, Isnaraissah Munirah Majilis dan pengarah penguat kuasa JAS Johor berhubung isu itu dan kini sedang menunggu maklum balas mereka. Pengarah JAS Johor Wan Abdul Latiff Wan Jaffar memaklumkan kepada Malaysiakini kakitangannya sedang mengumpulkan data yang diperlukan dan akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi.

Memulihkan sungai-sungai di Pasir Gudang daripada pencemaran yang dihadapinya kini bukanlah satu perkara yang boleh dicapai dalam masa singkat. Begitupun, Zaki - yang berpengalaman lebih 16 tahun dalam pemantauan kualiti sungai di negara ini - menegaskan sungai-sungai tidak boleh dibiarkan tercemar ke tahap yang lebih teruk.

“Percayalah, setiap minggu ada saja sumber pencemaran baru yang dilepaskan ke dalam sungai.

“Jadi, tumpuan perlu diberikan terhadap usaha untuk memelihara sungai yang masih bersih, atau sedikit tercemar, bagi memastikan sungai-sungai ini tidak akan semakin tercemar dengan teruk dalam masa lima tahun akan datang,” katanya.