Malaysia merupakan salah satu daripada dua negara Islam yang tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Pada 23 Nov 2018, kerajaan mengambil keputusan untuk tidak meratifikasi ICERD selepas beberapa minggu berlakunya demonstrasi.
ICERD yang diusahakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1965 bertujuan menangani masalah perkauman, namun di Malaysia ia dilihat sebagai satu ancaman terhadap kedudukan istimewa orang Melayu (Artikel 153) dan Islam.
ICERD membolehkan negara yang meratifikasi konvensyen itu membuat pengecualian. Beberapa negara yang terlibat membuat pengecualian agar konvensyen berkenaan tidak melangkaui perlembagaan negara mereka.
Beberapa negara yang membuat pengecualian ialah AS, Thailand, Papua New Guinea, Nepal, dan Jamaica. Berikut merupakan beberapa contoh:
"Thailand tidak menginterpretasi dan memperuntukkan konvensyen ini sebagai satu tanggungjawab yang melebihi perkara yang ditetapkan dalam Perlembagaan dan undang-undang Thailand."
"....Tiada ketetapan dalam konvensyen itu yang dianggap memerlukan atau meluluskan perundangan atau tindakan lain dari Nepal yang tidak sesuai dengan peruntukan Perlembagaan Nepal."
Malaysia boleh meratifikasi ICERD dengan pengecualian serupa untuk meredakan kebimbangan konvensyen itu akan menjejaskan Perlembagaan Persekutuan.
Sesebuah pengecualian boleh ditolak sekiranya dua pertiga negara yang menyertai Icerd tidak bersetuju dengan pengecualian itu. Namun ia tidak pernah terjadi kerana sukar untuk mendapatkan bantahan dua per tiga dari 179 negara.
Di atas kertas, ICERD bertujuan untuk mengikat (binding) sesebuah negara namun ia dilihat sukar dikuatkuasakan kerana tiada badan penguatkuasan.
Sebagai contoh, orang Romani membuat aduan terhadap Slovakia kerana mendiskriminasi dan Jawatankuasa Penghapusan Diskriminasi Kaum mendapati negara itu melanggar ICERD.
Jawatankuasa itu memberikan cadangan namun Slovakia mendakwa ia "tidak mengikat" (non-binding) dan seterusnya tidak peduli cadangan itu.[1]
Jawatankuasa Penghapusan Diskriminasi Perkauman juga menerbitkan laporan tahunan ke atas negara yang meratifikasi konvensyen berkenaan dan pernah mengkritik beberapa aspek undang-undang syariah di beberapa negara majoriti muslim seperti Qatar, Arab Saudi dan Iran. Namun terpulang kepada negara itu untuk menerima atau tidak.[2]
Bagaimanapun, ICERD dilihat berfungsi sebagai rujukan dan garis panduan bagi negara yang terlibat untuk menggubal undang-undang antidiskriminasi.
Selain ICERD, terdapat ahli politik yang menyatakan bahawa lima konvenysen hak asasi manusia PBB lain yang masih tidak diratifikasi Malaysia juga merupakan ancaman kepada negara.
Adakah anda setuju? Anda boleh membaca tentang lima konvensyen tersebut di bawah sebelum membuat keputusan.
undi