10 janji dalam 100 hari | Malaysiakini
Laporan Khas
Manifesto Pakatan Harapan
Baca manifesto

Laporan Khas

10 janji dalam 100 hari

Mengesan 10 ikrar HARAPAN yang perlu ditunaikan

2
Janji Tertunai
5
Sebahagiannya Tertunai
3
Dalam Perkembangan
Janji Tertunai
Sebahagiannya Tertunai
Dalam perkembangan
Hari berkuasa:

Manifesto Pakatan Harapan diumumkan pada 8 Mac 2018. Dengan kemenangan gabungan itu dalam PRU pada 9 Mei perhatian tertumpu kepada usaha mereka untuk melaksanakannya. Laman ini mengesan 10 ikrar HARAPAN yang perlu ditunaikan dalam tempoh 100 hari pertama mereka menjadi kerajaan. Baca manifesto penuh di sini.

1

GST

Menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan dan mengambil langkah mengurangkan kos sara hidup

Komen Hari ke-100

Janji untuk memansuhkan GST dianggap tertunai apabila GST disifarkan pada Hari ke-23. Tindakan selanjutnya hanya berkaitan isu teknikal di mana undang-undang GST itu perlu dimansuhkan. Dewan Rakyat sudah pun meluluskan pemansuhan GST dan sekarang menunggu tindakan Dewan Negara.

Jawapan jawatankuasa manifesto Pakatan Harapan:

Janji ditunaikan dalam lebih kurang sebulan tanpa memerlukan 100 hari apabila GST disifarkan. GST tidak lagi mempunyai sebarang impak ke atas rakyat. Dewan Rakyat pun telah meluluskan pemansuhan Akta GST dan sekarang menunggu Dewan Negara.

2

Subsidi minyak

Menstabilkan harga petrol dan memperkenalkan subsidi bersasar petrol

Komen Hari ke-100

Janji ini terdiri daripada dua komponen iaitu menstabikan harga dan subsidisi tersasar. Bahagian pertama ditunaikan selepas RON95 tidak lagi diapungkan. Kerajaan membayangkan subsidi tersasar akan diberi kepada motosikal bawah 125cc dan kereta bawah 1300cc. Tiada tempoh masa diberi.

Jawapan jawatankuasa manifesto Pakatan Harapan:

Harga RON95 sudah pun distabilkan. RON97 masih diapungkan kerana ia untuk golongan lebih berada dan bukannya B40. Subsidi tersasar masih diusahakan. Kami sedang bekerja keras untuk memastikan sebarang penyelewengan dalam sistem baru boleh diminimakan. Terdapat cadangan untuk menggunakan MyKad untuk sistem ini. Pelbagai mekanisme sedang ditelitikan. Ia akan mengambil masa, tetapi bukan bertahun-tahun. Tidak lama lagi.

3

Hutang peneroka

Menghapuskan hutang tidak wajar yang dikenakan ke atas peneroka Felda

Komen Hari ke-100

Janji ini dilihat sebagai antara yang paling rumit. Perkembangannya agak kurang. Kerajaan tidak menyatakan secara jelas sekiranya ia ingin melupuskan mana-mana hutang Felda. Setakat ini, Menteri Ekonomi hanya membayangkan kemungkinan kadar bunga bagi hutang-hutang ini mungkin diturunkan dan pendapatan peneroka-peneroka Felda akan ditingkatkan untuk memudahkan pembayaran balik hutang-hutang.

Jawapan jawatankuasa manifesto Pakatan Harapan:

Janji ini sememangnya mencabar bagi kami. Pangkalan maklumat Felda agak teruk dan tiada cubaan untuk mengutip hutang-hutang Felda. Jumlah hutang "tidak wajar" ini dalam lingkungan RM4 billion hingga RM5 billion. Sebenarnya hutang "tidak wajar" ini bukan hutang yang sebenar pun dan hanya disenaraikan sebagai hutang dalam buku akaun. Kami sedang menentukan apa hutang ini sebenarnya. Ia kemungkinan pemberian tetapi disenaraikan sebagai hutang bagi mengikat para peneroka. Felda yang dahulu cuba untuk mewujudkan satu hubungan feudal dengan mengikat para peneroka dengan hutang. Kita ingin menghentikan ini dan memperkasakan para peneroka. Ia akan mengambil masa kerana isunya agak rumit.

4

KWSP untuk pasangan

Memperkenalkan carumah KWSP untuk surirumah

Komen Hari ke-100

Kerajaan mengatakan dasar ini tidak boleh dilancarkan dengan segara atas sebab situasi kewangan. Justeru, kerjaan akan melancarkan janji ini secara berperingkat. Peringkat pertama yang dinamakan i-Suri telah bermula. Sebagai permulaan, manfaat diberikan kepada golongan wanita yang menjadi ketua rumah, belum berkahwin, merupakan janda atau telah bercerai. Mereka hanya perlu mencarum RM5 sebulan ke dalam KWSP dan kerajaan akan memberi RM40 sebulan. Janji penuh, iaitu pencaruman dua peratus daripada suami untuk suri rumah dan ditambah dengan RM50 sebulan daripada kerajaan hanya akan dilancarkan pada tahun 2020.

Jawapan jawatankuasa manifesto Pakatan Harapan:

Menteri sangat bersemangat tentang janji ini. Jawatankuasa untuk melaksanakan janji ini telah ditubuhkan dan ramai yang terlibat. Ini termasuk KWSP, LHDN dan pelbagai kementerian. Ia akan ditunaikan, cuma sekadar memerlukan sedikit masa.

5

Gaji minimum

Menyamaratakan gaji minimum di seluruh negara dan memulakan proses meningkatkan gaji minimum

Komen Hari ke-100

Menteri menyatakan kemungkinan akan ada "berita baik" pada 10 Ogos tetapi tiada pengumuman dibuat pada hari itu. Untuk rekod, Janji untuk meningkatkan gaji minima kepada RM1,500 bukan janji 100 hari. Janji bagi 100 hari pertama adalah untuk memulakan proses peningkatan gaji minima dan ini telah dilakukan. Bahagian kedua adalah untuk menyamaratakan gaji minima antara semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Pada masa kini, gaji minima di semenanjung adalah RM1,000/bulan dan RM920/bulan di Sabah dan Sarawak. Oleh itu, tiada keperluan peningkatan mendadak untuk menunaikan janji untuk menyamaratakan gaji minima. Namun, ia tidak dilaksanakan.

Jawapan jawatankuasa manifesto Pakatan Harapan:

Walaupun sekadar penyamarataan gaji, terdapat bantahan daripada para majikan di Sabah dan Sarawak. Mereka mengatakan bahawa gaji pekerja adalah berbeza mengikut tempat. Namun, perkara ini hampir diselesaikan. Hanya memerlukan lebih kurang 50 hari lagi. Ada beberapa perkara yang harus diperhalusi.

6

Pinjaman PTPTN

Menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang daripada RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.

Komen Hari ke-100

Kerajaan Pakatan Harapan telah menyatakan janji ini akan dilaksanakan tetapi memerlukan lebih masa. PTPTN telah mendapat bantuan LHDN untuk mewujudkan pangkalan maklumat bagi menjejak gaji para peminjam. Namun, PTPTN masih belum mendapat kerjasama KWSP dan Jabatan Akauntan Negara.

Jawapan jawatankuasa manifesto Pakatan Harapan:

Senarai hitam PTPTN telah dimansuhkan. Yang tinggal adalah penangguhan bayaran balik bagi mereka yang bergaji bawah RM4,000. Pengerusi PTPTN telah menyatakan pangkalan maklumat PTPTN adalah dalam keadaan yang agak teruk maka pembersihan perlu dilakukan. Namun terdapat agensi tertentu yang masih belum bekerjsama dengan PTPTN atas isu perlindungan data. Tetapi penyelesaian yang sah tetap boleh dicapai.

7

Suruhanjaya Siasatan Diraja

Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja 1MDB, Felda, MARA dan Tabung Haji, dan merombak semula struktur kepimpinan mereka

Komen Hari ke-100

Kerajaan Pakatan Harapan telah mengambil pelbagai tindakan dalam isu 1MDB. Pewujudan suruhanjaya siasatan diraja tidak mungkin berlaku dalam jangka masa pendek kerana penyiasatan oleh polis dan SPRM masih berjalan. Namun demikian, tiada perkembangan tengan pewujudan suruhanjaya siasatan diraja untuk Felda, Mara atau Tabung Haji walaupun tiada sebarang halangan.

Jawapan jawatankuasa manifesto Pakatan Harapan:

Suruhanjaya siasatan diraja adalah matlamat terakhir. Sudah terdapat penangkapan dan pendakwaan terhadap kes-kes berkaitan 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji. Yang penting, mereka yang terlibat dalam penyelewengan dihadapkan ke muka pengadilan. Pendakwaan adalah lebih baik daripada suruhanjaya siasatan diraja. Sekiranya mereka terlepas, kita boleh memilih suruhanjaya siasatan diraja.

8

Perjanjian Malaysia

Menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak dan melaksanakan secara adil Perjanjian Malaysia 1963

Komen Hari ke-100

Janji ini agak senang ditunaikan kerana ia hanya memerlukan sebuah jawatankuasa diwujudkan. Walaupun kabinet telah meluluskan pewujudan jawatankuasa tersebut, ahli-ahlinya masih belum dilantik.

Jawapan jawatankuasa manifesto Pakatan Harapan:

Kabinet ingin memastikan hanya mereka yang paling sesuai dilantik sebagai ahli. Mereka bukan saja perlu memahami Pernjanjian Malaysia tetapi menjiwainya.

9

Skim kesihatan

Memperkenalkan Skim Peduli Sihat dengan memberi pembiayaan RM500 untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar untuk golongan B40.

Komen Hari ke-100

Janji ini antara yang paling rumit kerana melibatkan sistem kesihatan negara. Menteri kesihatan telah menyatakan ia tidak boleh dilaksanakn dalam 100 hari kerana masalah kewangan. Namun, menteri telah secara proaktif memaklumkan orang ramai tentang proses yang sedang dijalankan agar janji ini boleh dilaksanakn kelak. Walaubagaimanapun, kebanyakan perkembangan masih di peringkat perbincangan.

Jawapan jawatankuasa manifesto Pakatan Harapan:

Sesetengah negeri sudah pun melaksanakan dasar ini di peringkat negeri. Ia masih dalam tindakan di peringkat persekutuan.

10

Projek-projek mega

Melancarkan kajian terperinci mengenai projek-projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing

Komen Hari ke-100

Janji 100 hari Pakatan Harapan tidak menyatakan projek mega yang akan disemak semula. Projek-projek yang disenaraikan di sini adalah berdasarkan nilai yang paling tinggi. Kesemuanya telah pun disemak semula bagi mengkawal hutang negara.

Jawapan jawatankuasa manifesto Pakatan Harapan:

Kami sudah menghentikan sesetengah projek dan lain diteruskan. Maka semakan telah pun dilaksanakan.